28 July 2017

Salam Ukhwah Salam Perkenalan

Teks : Rasidah binti Othman
Media : Simpanan Peribadi

Assalamualaikum dan salam perkenalan daripada saya. Nama saya Rasidah binti Othman. Saya dilahirkan pada 26 Julai 1981 di sebuah rumah kecil milik nenek sebelah ayah di Kampung Paya Mengkuang. Lebih selesa dipanggil dengan nama Kak Ngah oleh keluarga terdekat dan panggilan Seed oleh kawan-kawan sejak berumur 7 tahun lagi, ketika itu saya masih di tahun satu, dan sehingga sekarang saya lebih mudah dan suka menggelarkan diri saya dengan panggilan Kak Seed. Kak Seed adalah anak kedua daripada sembilan orang adik beradik, 7 perempuan dan dua lelaki.



Kak Seed dilahirkan di dalam keluarga yang sederhana. Ayah Kak Seed seorang tukang bina rumah, manakala ibu pula seorang suri rumah sepenuh masa. Seingat Kak Seed, kami tinggal di tanah kampung milik ayah seawal usia Kak Seed 5 tahun. Rumah yang dibina oleh ayah sendirian dengan tulang empat keratnya untuk kami sekeluarga. Kenangan.

Kak Seed mendapat pendidikan awal di TADIKA Kemas Kampung Tiram Duku pada tahun 1987, mengenal satu dua dan tiga dengan didikan dari Cikgu Zabidah dan Cikgu Rosnani. Takkan pernah lupa guru pertama Kak Seed. Sejurus selepas itu menginjak sekolah rendah di kampung yang sama, Sekolah Kebangsaan Tiram Duku, di situlah Kak Seed mendapat gelaran Sid daripada Cikgu kelas tahun satu, Cikgu Norliza. Cikgu Norliza memberi gelaran itu akibat daripada kehadiran dua pelajar yang memiliki nama yang sama, Rasidah dan Rashidah. Mudah kerja dia, senang nak panggil. 

Selesai sekolah rendah Kak Seed meneruskan pendidikan perlu ke Sekolah Menengah Tanjung Adang, masih berada didalam kawasan Gelang Patah. Keputusan PMR yang baik, telah membawa Kak Seed meneruskan pendidikan menengah ke aliran perdagangan dan ekonomi di Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru. Merana diri Kak Seed, kena tinggal di asrama meninggalkan emak, ayah dan adik-adik.

Selesai SPM ketika itu pada tahun 1999, Kak Seed berjaya mendapatkan tempat belajar lebih tinggi dalam aliran kewangan, Pengurusan Perbankan di UiTM Kampus Johor, di Segamat. Waktu ini sudah besar sikit, da kuat dan biasa berada jauh dari keluarga. Belajar hidup berdikari, menjaga diri sendiri, makan sendiri, dan belajar pun sendiri, untuk diri sendiri. Di kampus inilah Kak Seed mengenali peneman hidup Kak Seed sekarang Mohd Noor Azam b Ateh. Kini kami sudah mendirikan rumahtangga hampir 11 tahun dan dikurniakan Allah s.w.t dengan 3 orang anak lelaki, Muhammad Iman, Muhammad Afif dan Muhammad Aqil. Alhamdulillah.

Selesai pembelajaran, Kak Seed diterima bekerja di salah satu syarikat pembinaan dan pengangkutan di kawasan Tanjung Pelepas sebagai Pembantu Admin dan Akaun di bawah salah satu anak syarikat milik Inai Kiara Sdn Bhd. Selesai kontrak, pada pertengahan tahun 2003, Kak Seed bertugas pula sebagai Pembantu Kewangan di TM Kargo Sdn Bhd di Kulai selama hampir setahun. Pada Oktober 2004, Kak Seed berkhidmat pula di Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, di dalam Bahagian Kewangan dibawah Unit Perbendaharaan selama hampir 9 tahun. Setelah berkerja, belajar dan menimba pelbagai pengalaman, Kak Seed di tawarkan pula jawatan tetap seumur hidup, menjadi suri rumah sepenuh masa oleh suami. Dan bermulalah kehidupan Kak Seed sebagai suri rumah, ibu dan peniaga online, orang gelar WAHM, Work At Home Mother. 

Sebenarnya, sebelum berhenti kerja lagi, Kak Seed sudah mula berniaga online, masa tu zaman Losyen Panas Felina. Keseronokan berniaga online, telah menarik Kak Seed untuk buat bersungguh-sungguh dan Kak Seed memilih rangkaian produk Jamu Susuk Dara untuk lebih fokus. Alhamdulillah, dari dropship naik agen, pengedar dan seterusnya menjadi stokis bagi kawasan Nusajaya, sekarang sudah ditukar dengan nama Iskandar Puteri.

Dengan Jamu Susuk Dara inilah, Kak Seed belajar pelbagai  teknik bisnes, tabung simpanan, pengasingan modal, FB dan instagram. Dari secara online, Kak Seed juga simpan stok dan buat COD, sambil memberi khidmat nasihat penjagaan dalaman dan intim seorang isteri. Seronok jual jamu ni, kita membantu lebih ramai isteri-isteri menjadi lebih berkeyakinan dan hidup sihat bahagia. Keseronokan berniaga buat Kak Seed kenal dengan ramai rakan niaga, dari mereka, Kak Seed berjinak-jinak dengan perniagaan offline pula, perniagaan jalanan, dengan konsep buka bonet. Pada ketika itu, tahun 2013, kerana susah nak dapatkan kawasan niaga buka bonet, Kak Seed membantu suami untuk mengumpulkan peniaga-peniaga online bertapak niaga di dalam satu kawasan pilihan. Pada penghujung 2013, kami berjaya mengumpulkan 114 peniaga bercarbootsale di kawasan Taman Permainan Kanak-kanak, Taman Nusa Idaman, Nusajaya, Johor. Dari detik itulah, BukakbonetJB terus berkembang dan bergerak seiring ekonomi negara.

Bercerita mengenai aktiviti masa lapang, Kak Seed berusaha semampunya untuk membaca buku. Buku-buku pilihan Kak Seed adalah buku yang berunsur ilmiah, bisnes dan majalah kecantikan. Suami pula sememangnya akan membawa kami sekeluarga sebulan sekali ke kedai buku untuk membeli buku pilihan. Aktiviti sebegini kami buat bersama anak-anak untuk memupuk minat membaca dalam diri mereka. Alhamdulillah, sedikit sebanyak telah nampak minat membaca pada Muhammad Iman dan Muhammad Afif.

Harapan Kak Seed, untuk pembelajaran kali ini di ABDR, akan mampu membantu Kak Seed, membantu lebih ramai lagi mereka-mereka yang takut-takut untuk bermula berniaga. Jomlah bersama Kak Seed. 

Berniaga Dengan Mudah, Berniagalah Dengan BukakbonetJB.